Mas cotek atau dalam bahasa saintifiknya, Ficus deltoidea merupakan tumbuhan yang kinimula mendapat perhatian, khususnya dikalangan pengamal perubatan tradisional. Selain Tongkat Ali (Eurycoma longifolia) dan Kacip Fatimah (Labisia pumila), mas cotek dikenali kerana khasiatnya yang dapat merawat pelbagai jenis penyakit dan baik untuk penjagaan kesihatan.
Nama mas cotek adalah merupakan nama tempatan yang popular di bahagian Timur Semenanjung Malaysia. Di negeri Sabah dan Serawak, juga Kepulauan Kalimantan, tumbuhan ini dikenali dengan nama ‘sempit-sempit’. Terdapat juga suku kaum di Sabah yang menggelarnya sebagai ‘agoluran’. Di Indonesia, tumbuhan ini dipanggil ‘tabat barito’ dan beberapa nama di daerah lain seperti ara jelatih, ara tunggal, api-api telinga gajah dan api-api telinga kera. Di Afrika pula, ianya dikenali sebagai ‘Kangkalibang’. Walaupun sedemikian, nama mas cotek adalah merupakan nama yang paling popular dan dikenali jika dibandingkan dengan nama-nama tempatan yang lain.
Nama mas cotek diberi disebabkan oleh bintik-bintik halus berwarna emas yang terdapat pada permukaan atas setiap helaian daun tumbuhan ini. Di Malaysia, para saintis telah mengenalpasti bahawa terdapat lebih daripada 80 spesis tumbuhan tergolong di dalam keluarga Ficus deltoidea. Tumbuhan yang dikenali sebagai ara juga merupakan salah satu spesis keluarga Ficus deltoidea. Ficus deltoidea Jack atau Mistleteo fig adalah diantara spesis yang diklasifikasikan secara saintifik dan ianya tergolong dalam keluarga Moraceae.
Secara tradisi, nama tempatan serta pengkelasan jenis mas cotek dilakukan mengikut spesis seperti delima sudip, serapat angin, telinga gajah, telinga kera, telinga beruk dan sebagainya. Di Malaysia, spesis serapat angin banyak terdapat di bahagian Pantai Timur Semenanjung terutamanya di Negeri Terengganu. Spesis telinga beruk dan telinga gajah pula, banyak terdapat di Negeri Kelantan. Delima sudip boleh diperolehi di kawasan Tengah dan Selatan Semenanjung, manakala telinga kera banyak terdapat di bahagian Utara Semenanjung.
Menurut pengamal perubatan tradisional, mas cotek boleh diklasifikasikan kepada dua kategori utama iaitu:
a) Mas cotek jantan
b) Mas cotek betina
Perbezaan paling ketara yang dapat dilihat diantara spesis mas cotek jantan dan spesis mas cotek betina adalah dari segi rupa bentuk daunnya. Jenis yang berdaun kecil, tirus, nipis dan ringan lebih dikenali sebagai pokok mas cotek jantan. Bahagian belakang daun mas cotek jantan juga terdapat bintik berwarna merah. Pada kebiasaannya, daun-daun ini mempunyai satu bintik merah, tetapi terdapat juga daun yang mempunyai dua dan tiga bintik merah.
Bintik hitam pada bahagian belakang daun mas cotek betina
Daun jantan dan daun betina mas cotek
Urat daun betina menyerupai daun jantan mas cotek
Mengikut konsep ‘Doctrine of signature’, bentuk, warna, rasa dan bau pada setiap bahagian tumbuhan mas cotek menggambarkan kegunan herba itu untuk rawatan penyakit. Secara tradisi, daun mas cotek digunakan oleh golongan wanita selepas bersalin untuk mengecutkan rahim, memperbaiki peredaran darah, mengembalikan tenaga, merawat masalah berkaitan peredaran darah, dan dijadikan sebagai minuman herba untuk kesihatan serta kecantikan.
Bagi pengamal perubatan tradisional, mas cotek juga berupaya mencegah dan menyembuh beberapa jenis penyakit sekiranya diamalkan dengan betul seperti penyakit paru-paru berair, kencing manis, lemah jantung, darah tinggi dan cirit-birit. Dalam hal ini, kebanyakan pengamal perubatan tradisional mensyorkan mas cotek diamalkan sebagai minuman teh herba.
Kajian makmal menunjukkan terdapat kandungan berikut didalam MAS COTEK :-
a. FLAVONOID - Anti oksidan yang sangat berkesan dalam mengawal pusingan haid yang baik, anti radang, anti viral, melindungi hati dan astrogen.
b. TANNINS - Menegangkan tisu yang kendur, mengurangkan pengeluaran air yang berlebihan, iaitu ceret-beret dan melindungi tisu yang rosak seperti exzeme dan terbakar.
c. TRITERPENOIDS - Pemecahan dam penyerapan Nutriens.
d. PROANTHOCYANNNIS - melindungi tisu daripada rosak. Ia seperti anti toksid yang kuat.
e. PHENOL - Anti radang dan anti septik.